MODEL KESA DALAM PEMBANGUNAN KOMPETENSI
Cadangan Model Oleh Shamsul Bahri Mohd Yusof – Januari, 2026
Banyak organisasi percaya bahawa lebih banyak latihan akan menghasilkan warga kerja yang lebih kompeten. Namun realitinya, selepas bertahun-tahun pelaburan dibuat, persoalan yang sama masih timbul dalam perbincangan pengurusan: mengapa tahap keberkesanan warga kerja masih tidak konsisten?
Isunya selalu bukan terletak pada kekurangan latihan, tetapi pada andaian asas tentang bagaimana kompetensi sebenarnya terbina. Di sinilah kebanyakan organisasi perlu berhenti seketika dan menilai semula pendekatan pembangunan bakat mereka.
Berdasarkan pengalaman pasukan perunding Irshad HR Consulting serta amalan profesional Shamsul Bahri Mohd Yusof sebagai Competency Development Practitioner dalam membangunkan warga kerja di pelbagai peringkat merentas pelbagai organisasi, satu pemerhatian yang konsisten dikenal pasti: kompetensi tidak terbina daripada pengetahuan atau kemahiran secara terasing. Sebaliknya, kompetensi terbentuk melalui gabungan elemen yang saling memperkukuh dan berkembang dari masa ke masa. Berasaskan kefahaman ini, Model KESA telah dibangunkan.
MODEL KESA: LEBIH DARIPADA K.S.A.

Figure 1: Model KSA dan Model KESA
Model KESA menghuraikan kompetensi melalui empat elemen utama:
- Knowledge (Pengetahuan) – kefahaman terhadap peranan, prinsip dan konteks kerja
- Experience (Pengalaman) – pembelajaran hasil pendedahan dan cabaran sebenar di tempat kerja
- Skills (Kemahiran) – keupayaan menterjemahkan kefahaman kepada tindakan yang berkesan dan praktikal
- Attitude (Sikap) – cara berfikir, membuat keputusan dan bertindak secara profesional
Keempat-empat elemen ini lazimnya wujud dalam kebanyakan organisasi. Namun perbezaannya terletak pada bagaimana elemen-elemen ini digabungkan, disusun dan diperkasakan secara berstruktur.

Figure 2: Rumusan Model KESA
SIKAP SEBAGAI PENGGANDA KOMPETENSI
Dalam Model KESA, kompetensi dirumuskan sebagai:
Competency = (Knowledge + Experience + Skills) × Attitude
Rumusan ini membawa satu mesej yang jelas: sikap ialah pengganda (multiplier) kepada semua elemen lain.
- Pengetahuan tanpa pengalaman hanya kekal sebagai teori.
- Pengalaman tanpa sikap yang betul tidak membawa pertumbuhan atau perubahan.
- Kemahiran tanpa asas pengetahuan menghasilkan tindakan yang tidak konsisten.
Sebaliknya, apabila sikap yang betul wujud; keterbukaan untuk belajar, akauntabiliti, disiplin profesional dan kesediaan menerima maklum balas — pengetahuan, pengalaman dan kemahiran akan diterjemahkan kepada keberkesanan sebenar di tempat kerja.
IMPLIKASI STRATEGIK KEPADA KEPIMPINAN
Model KESA menuntut organisasi menilai semula pendekatan pembangunan bakat. Fokus tidak lagi sekadar latihan apa yang perlu dihantar, tetapi kepada soalan yang lebih strategik:
- pengetahuan apa yang benar-benar kritikal untuk peranan tersebut?
- pengalaman kerja apa yang perlu didedahkan secara praktikal dan berstruktur?
- kemahiran apa yang mesti diasah untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan?
- dan yang paling penting, sikap apa yang perlu dibentuk secara konsisten, selari dengan nilai teras organisasi?
Apabila persoalan ini dijawab dengan jelas, pembangunan warga kerja akan beralih daripada aktiviti latihan semata-mata kepada pembinaan keupayaan strategik organisasi.
PENUTUP
Dalam persekitaran organisasi yang semakin kompleks dan kompetitif, organisasi tidak memerlukan lebih ramai individu yang sekadar tahu dan boleh buat. Organisasi memerlukan warga kerja yang berfikiran betul, mempunyai akauntabiliti, bersikap profesional dan mampu menterjemahkan keupayaan mereka kepada nilai tambah yang bermakna.
Model KESA menyediakan satu kerangka pemikiran yang membantu organisasi bergerak ke arah tersebut — dengan membangunkan kompetensi secara lebih realistik, berprinsip dan mampan.
Author’s Reflection
Model KESA dibangunkan daripada pengalaman perunding profesional di Irshad HR Consulting Konsultan dan juga Competency Development Practitioner Shamsul Bahri Mohd Yusof setelah bekerja rapat dengan organisasi yang berhadapan cabaran sebenar dalam membangunkan kompetensi warga kerja. Dari semasa ke semasa, menjadi semakin jelas bahawa jurang prestasi jarang berpunca daripada kekurangan pengetahuan semata-mata, tetapi daripada bagaimana pengalaman dimanfaatkan dan sikap profesional dibentuk secara konsisten. “Model KESA mencerminkan pendekatan yang saya percaya — ringkas, praktikal dan berasaskan realiti sebenar organisasi.” – Shamsul, 2026.